Pengenalan

Selaras dengan Teras 3 Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021-2030, iaitu untuk merangsang pertumbuhan industri tempatan bagi memacu pertumbuhan ekonomi berasaskan teknologi tempatan, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) memperkenalkan inisiatif penandaan logo bagi barangan dan perkhidmatan yang dihasilkan daripada aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) tempatan (MySTI). 

MySTI adalah salah satu inisiatif Kerajaan untuk memperkasakan lagi aktiviti pengkomersialan teknologi dan inovasi tempatan. Kini, barangan dan perkhidmatan yang dihasilkan melalui aktiviti R&D tempatan boleh dikenal pasti melalui penandaan logo MySTI, dan seterusnya boleh dipasarkan dengan lebih strategik dan sistematik sama ada dalam perolehan Kerajaan mahupun di pasaran terbuka tempatan dan luar negara. Barangan dan perkhidmatan yang memperolehi sijil dan logo MySTI akan diberikan keutamaan dalam perolehan Kerajaan.

MySTI menyediakan platform inklusif yang menghubungkan antara Kerajaan, penyelidik, pemilik produk/teknologi, teknopreneur, bakal pembeli, bakal pelabur, rakan kerjasama dan pengguna. Inventori MySTI menghimpunkan barangan dan perkhidmatan hasil R&D tempatan yang telah dikomersialkan dan bersedia untuk dipasarkan.

Garis panduan ini dibangunkan sebagai rujukan kepada pemohon yang ingin menandakan barangan dan perkhidmatan yang dihasilkan melalui aktiviti R&D tempatan dengan logo dan sijil MySTI.

Malaysian Research Accelerator for Technology & Innovation (MRANTI), agensi di bawah MOSTI bertanggungjawab untuk memproses permohonan bagi mendapatkan sijil dan logo MySTI melalui Jawatankuasa Kelulusan MySTI.

Skop garis panduan ini meliputi definisi, kriteria dan tatacara permohonan sijil dan logo MySTI.

Tafsiran

  1. “Harta Intelek” merujuk kepada apa-apa reka cipta, karya, ciptaan, rekaan, maklumat sulit termasuk rahsia perdagangan yang layak untuk mendapat perlindungan melalui apa-apa undang-undang Harta Intelek semasa di Malaysia.
  1. “Pemohon” bermaksud mana-mana Syarikat/ Perniagaan/ Pertubuhan/ Koperasi/ Persatuan yang berdaftar dengan pihak berkuasa yang berkenaan mengikut peraturan semasa yang berkuatkuasa.
  1. “Pengkomersialan” merujuk kepada aktiviti penjanaan pendapatan atau penjimatan secara langsung atau tidak langsung melalui idea, penyelidikan, reka cipta, kreativiti dan inovasi yang dihasilkan dalam bentuk produk, perkhidmatan, teknologi, proses dan/atau sistem organisasi yang dipasarkan melalui kaedah-kaedah pengkomersialan seperti penjualan, pelesenan, penyerahan hak, pengembangan (spin-off), pengilangan, pembungkusan, usaha sama, francais dan lain-lain.
  1. “Penyelidikan dan Pembangunan (R&D)” merujuk kepada siasatan awal atau kerja-kerja kreatif dan sistematik yang dijalankan untuk memperoleh pengetahuan baharu berkaitan sains, teknologi, kemanusiaan, kebudayaan dan kemasyarakatan; serta untuk mengguna pakai pengetahuan yang sedia ada dalam aplikasi baharu bagi tujuan pengeluaran atau penambahbaikan bahan, alat, produk, hasil atau proses.
  1. “Perakuan Pemfailan” bermaksud dokumen pendaftaran Harta Intelek yang telah difailkan di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) termasuk paten, perbaharuan utiliti, hak cipta, cap dagangan, reka bentuk perindustrian dan reka bentuk susun atur litar bersepadu.
  1. “Perakuan Pendaftaran” bermaksud sijil perakuan hak Harta Intelek yang dikeluarkan oleh MyIPO, termasuk paten, perbaharuan utiliti, hak cipta, cap dagangan, reka bentuk perindustrian dan reka bentuk susun atur litar bersepadu.
  1. “Perjanjian Perkongsian” bermaksud dokumen perjanjian yang membenarkan satu pihak menggunakan barangan atau perkhidmatan hasil R&D tempatan yang dimiliki pihak lain untuk kegunaan komersial atau bukan komersial.
  2. “Perjanjian Perlesenan” bermaksud dokumen perjanjian  yang membenarkan satu pihak menggunakan harta intelek pihak lain, termasuk paten, perbaharuan utiliti, hak cipta, cap dagangan, reka bentuk perindustrian dan reka bentuk susun atur litar bersepadu untuk kegunaan komersial atau bukan komersial.

Objektif

MySTI dibangunkan untuk melaksanakan fungsi berikut: 

  1. Sebagai medium untuk pemohon yang layak mengemukakan permohonan penandaan logo dan sijil bagi barangan dan perkhidmatan yang dihasilkan daripada aktiviti R&D tempatan;
  1. Sebagai pangkalan data bagi menghimpunkan barangan dan perkhidmatan hasil R&D tempatan yang diluluskan dengan logo dan sijil MySTI; dan
  1. Sebagai rujukan untuk melaksanakan program Perolehan Kerajaan bagi barangan dan perkhidmatan hasil R&D tempatan.

Fungsi

MySTI dibangunkan untuk melaksanakan fungsi berikut: 

  1. Sebagai medium untuk pemohon yang layak mengemukakan permohonan penandaan logo dan sijil bagi barangan dan perkhidmatan yang dihasilkan daripada aktiviti R&D tempatan;
  1. Sebagai pangkalan data bagi menghimpunkan barangan dan perkhidmatan hasil R&D tempatan yang diluluskan dengan logo dan sijil MySTI; dan
  1. Sebagai rujukan untuk melaksanakan program Perolehan Kerajaan bagi barangan dan perkhidmatan hasil R&D tempatan.

Syarat-syarat Permohonan

  1. Permohonan penandaan logo dan sijil MySTI terbuka kepada semua Syarikat/ Perniagaan/ Pertubuhan/ Koperasi/ Persatuan yang berdaftar dengan pihak berkuasa yang berkenaan mengikut peraturan semasa yang berkuatkuasa.
  1. Barangan atau perkhidmatan hendaklah dihasilkan melalui aktiviti R&D tempatan dengan sekurang-kurangnya satu komponen difailkan atau didaftarkan di bawah perlindungan  Harta Intelek atau dibangunkan oleh sekurang-kurangnya satu (1) entiti atau seorang individu warganegara Malaysia yang perlu dibuktikan melalui dokumen berikut:
  • Perakuan Pemfailan atau Perakuan Pendaftaran Harta Intelek seperti Paten, Pembaharuan Utiliti, Rekabentuk Perindustrian, Hak Cipta, Reka Bentuk Susun Atur Litar Bersepadu, atau Cap Dagangan daripada MyIPO; dan/atau
  • Perjanjian Perlesenan atau Perjanjian Perkongsian yang sah dengan pemilik Harta Intelek.
  1. Bagi barangan atau perkhidmatan yang dihasilkan melalui aktiviti R&D tempatan tetapi tidak mempunyai Perakuan Pemfailan, Perakuan Pendaftaran atau Perjanjian Perlesenan Harta Intelek, pemohon perlu melengkapkan Borang Pendedahan Ciptaan seperti di Lampiran A. Barangan atau perkhidmatan hendaklah dihasilkan melalui aktiviti R&D tempatan yang dibangunkan oleh sekurang-kurangnya satu (1) entiti atau seorang individu warganegara Malaysia.
  1. Barangan atau perkhidmatan yang dihasilkan hendaklah sedia untuk dikomersialkan.
  1. Pemohon hendaklah mempunyai keupayaan untuk menghasilkan barangan dan perkhidmatan tersebut mengikut permintaan pasaran serta menyediakan khidmat pasca pembelian.
  1. Pemohon digalakkan untuk mendapatkan: 
  • Penandaan logo Barangan Malaysia daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP);  dan
  • Pengesahan, pengiktirafan, pensijilan dan/atau akreditasi berkaitan kandungan, fungsi, keberkesanan, keselamatan dan lain-lain aspek berkaitan daripada Kementerian/Jabatan/Agensi berkuatkuasa atau badan-badan pensijilan yang diiktiraf.

Cara memohon

Permohonan penandaan logo dan sijil MySTI hendaklah dibuat melalui sistem app.mysti.gov.my di portal rasmi https://www.mysti.gov.my

Dokumen yang perlu disertakan

Pemohon perlu melengkapkan permohonan melalui www.mysti.gov.my dan menyertakan dokumen sokongan seperti berikut:

  1. Maklumat pendaftaran Syarikat/ Perniagaan/ Pertubuhan/ Koperasi/ Persatuan daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia atau badan-badan berdaftar yang lain.
  1. Bukti Perakuan Pemfailan atau Perakuan Pendaftaran Harta Intelek yang dikeluarkan oleh MyIPO atau dokumen pengesahan Rahsia Dagangan (Trade Secret) daripada pihak pemunya.
  1. Perjanjian Perlesenan Harta Intelek atau Perjanjian Perkongsian  yang masih dalam tempoh sah sekurang-kurangnya satu (1) tahun dari tarikh permohonan MySTI. Pemohon bertanggungjawab untuk memastikan status pemfailan masih aktif dan/atau status pendaftaran Harta Intelek tidak tertunggak.
  1. Borang Pendedahan Ciptaan (Invention Disclosure Form). Format universiti boleh diterima pakai. Sekiranya tiada, template disertakan di Lampiran A.
  1. Salinan dokumen pengesahan, pengiktirafan, pensijilan atau akreditasi berkaitan kandungan, fungsi, keberkesanan, keselamatan dan lain-lain aspek berkaitan daripada Kementerian/Jabatan/Agensi berkuatkuasa atau badan-badan pensijilan yang diiktiraf dalam format pdf (sekiranya ada).
  1. Gambar dan ilustrasi barangan dan perkhidmatan yang jelas  dengan resolusi tinggi, 800 x 600px dalam format jpeg atau png.

Tempoh Sah Penandaan Logo dan Pensijilan

  1. Kelulusan penandaan logo dan pensijilan MySTI adalah sah untuk tempoh tiga (3) tahun, tertakluk kepada tempoh sah status Pemfailan, Pendaftaran Harta Intelek dan/atau Perjanjian Perlesenan atau Perjanjian Perkongsian.
  2. Pemohon hendaklah memastikan status Pemfailan masih aktif atau memperbaharui Pendaftaran Harta Intelek dan Perjanjian Perlesenan sepanjang tempoh sah penandaan logo dan pensijilan MySTI.

Yuran Permohonan

Yuran permohonan penandaan logo dan sijil MySTI akan dikenakan untuk setiap permohonan. Walau bagaimanapun, untuk fasa rintis, yuran permohonan adalah PERCUMA.

Proses Permohonan

  1. Carta Alir Permohonan MySTI disertakan di Lampiran B
  1. Hanya permohonan yang lengkap akan diproses dan dinilai oleh sekretariat dan akan diputuskan oleh Jawatankuasa Kelulusan MySTI.
  1. Sebarang perubahan ke atas nama Syarikat/ Perniagaan/ Pertubuhan/ Koperasi/ Persatuan, kilang, premis dan alamatnya, pemunya Harta Intelek, status Harta Intelek serta apa jua yang berkaitan dengan permohonan ini hendaklah dimaklumkan kepada urusetia MySTI secara bertulis di info@mysti.gov.my dalam masa 30 hari daripada tarikh perubahan.

Pembatalan Kelulusan

  1. Kelayakan atau kelulusan MySTI tidak boleh diniagakan, dipindah milik atau dipinda isi kandungannya.
  1. Penandaan logo dan pensijilan MySTI ini masih tertakluk kepada semua undang-undang atau peraturan yang berkaitan.
  1. Kerajaan berhak membatalkan kelulusan penandaan logo dan pensijilan MySTI yang telah diberikan sekiranya berlaku ketidakpatuhan terhadap syarat-syarat yang ditetapkan dengan mengemukakan notis pembatalan secara bertulis kepada Syarikat/ Perniagaan/ Pertubuhan/ Koperasi/ Persatuan.
  1. Kerajaan  berhak mengambil tindakan ke atas mana-mana pelanggaran  syarat yang telah ditetapkan kepada pemohon yang diberi kelulusan.

Inventori MySTI

  1. Inventori MySTI adalah platform yang menghimpunkan barangan dan perkhidmatan hasil R&D tempatan yang telah mendapat kelulusan logo dan sijil MySTI. Ia berfungsi sebagai pangkalan data yang menyokong ekosistem pengkomersialan dan pemasaran teknologi tempatan.
  1. Inventori MySTI adalah sumber rujukan untuk pelaksanaan program Perolehan Kerajaan bagi barangan dan perkhidmatan hasil R&D tempatan.