PUTRAJAYA – Inisiatif MySTI di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah dipilih sebagai antara pameran utama dalam sambutan Hari Inovasi dan Kecemerlangan Jabatan Perdana Menteri 2025 (HIK JPM 2025) yang berlangsung di Hotel Everly pada tahun 14 Oktober 2025. Majlis berprestij yang dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN), YBhg. Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Negara ini menjadi platform strategik bagi MySTI untuk menonjolkan keupayaan teknologi tempatan kepada lebih 550 tetamu kehormat, termasuk barisan kepimpinan tertinggi jabatan dan agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri.
Sepanjang pameran tersebut, MySTI bersama-sama inisiatif National Technology and Innovation Sandbox (NTIS) dan Malaysia Commercialisation Year (MCY) telah mempamerkan pelbagai keberhasilan R&D dan produk inovasi tempatan yang sedia untuk dikomersialkan. Fokus paparan inovasi ini tertumpu kepada pembuktian kualiti barangan buatan Malaysia yang bukan sahaja memenuhi standard antarabangsa, malah berupaya menawarkan penyelesaian kos efektif bagi meningkatkan efisiensi sistem penyampaian perkhidmatan awam. Kehadiran MySTI membolehkan interaksi terus berlaku antara pencipta inovasi dan pembuat dasar bagi membuka ruang perolehan kerajaan yang lebih meluas.
Penyertaan dalam HIK JPM 2025 ini merupakan langkah proaktif MySTI dalam memperkasakan ekosistem STI negara dengan memastikan produk inovasi tempatan mendapat visibiliti di peringkat tertinggi pentadbiran kerajaan. Sebagai pemudah cara utama, MySTI komited untuk terus memacu pemindahan teknologi dan pengkomersialan R&D melalui sokongan dasar perolehan yang inklusif. Usaha ini bukan sahaja memperkukuh kedaulatan teknologi negara, malah menjadi pemangkin kepada pertumbuhan industri tempatan yang lebih kompetitif dalam mendepani cabaran ekonomi global.