KUALA LUMPUR – Pasukan MySTI di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah berjaya menyertai Konvensyen Inovasi Sosial (KIS) 2025 yang berlangsung di GMBB Mall, Bukit Bintang pada 16 hingga 18 Oktober 2025. Program anjuran Bahagian Pembudayaan dan Perkhidmatan STI (PSTI) dengan kerjasama Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) ini menjadi titik pertemuan penting bagi wakil kerajaan negeri, universiti, yayasan, dan syarikat persendirian dalam meneroka penyelesaian teknologi bagi cabaran sosial masa kini.
Melalui reruai pameran MySTI, para inovator dan penyelidik universiti telah diberikan pendedahan mendalam mengenai tatacara pengkomersialan R&D serta dana pembiayaan R&D&C&I. Sesi rundingan ini turut membantu syarikat persendirian dan syarikat pemula memahami mekanisme pendaftaran produk MySTI untuk menembusi pasaran perolehan kerajaan secara lebih efektif. Selain itu, inisiatif Sandbox Teknologi dan Inovasi Nasional (NTIS) turut diketengahkan bagi memudah cara proses pemindahan teknologi daripada peringkat prototaip kepada aplikasi komuniti yang sebenar.
Penyertaan MySTI dalam konvensyen ini membuktikan komitmen MOSTI sebagai pemudah cara utama dalam menghubungkan bakat tempatan dengan pelabur dan pembuat dasar strategik. Dengan memperkasakan ekosistem STI yang inklusif, MySTI tekad memastikan setiap inovasi yang mempunyai impak sosial tinggi dapat dikomersialkan secara mampan. Langkah ini bukan sahaja menyokong pertumbuhan ekonomi syarikat tempatan, malah memperkukuh kedaulatan teknologi negara menerusi penggunaan barangan hasil kreativiti anak watan yang berkualiti tinggi.