SEPANG – Bahagian Perolehan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah menganjurkan Bengkel Pemenuhan Spesifikasi Perolehan bagi Perolehan ICT, Teknikal, dan Perolehan Am Tahun 2026 bertempat di Holiday Inn Sepang pada 12 Februari 2026. Bengkel strategik ini dihadiri oleh pegawai-pegawai perolehan daripada pelbagai jabatan dan agensi di bawah KDN bagi meningkatkan kecekapan dalam penyediaan spesifikasi tender. Inisiatif ini bertujuan memastikan setiap perolehan agensi keselamatan negara bukan sahaja memenuhi keperluan operasi, malah selari dengan agenda pemerkasaan industri tempatan melalui penguatkuasaan dasar kerajaan yang terkini.
Fokus utama bengkel ini adalah taklimat khas mengenai Penguatkuasaan Dasar MySTI menerusi Pekeliling Perbendaharaan (PP/PK 1.4) berkaitan Dasar Bahan, Barangan, dan Perkhidmatan Tempatan dalam Perolehan Kerajaan. Sesi ini memperincikan kaedah pelaksanaan MySTI dalam penyediaan spesifikasi teknikal serta kriteria penilaian yang telus bagi mengutamakan inovasi tempatan dalam sektor ICT dan teknikal.
Penggunaan barangan inovasi tempatan secara strategik bukan sahaja dapat mengurangkan kebergantungan kepada teknologi luar, malah memacu pemindahan teknologi dan pertumbuhan industri R&D domestik. Usaha berterusan ini membuktikan komitmen MySTI sebagai pemudah cara dalam memastikan inovasi anak tempatan menjadi pilihan utama dalam memperkasakan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan.