KPDN Perkukuh Peranan Perintis Melalui Sesi Pencerahan Dasar MySTI

2 min baca 11 May 2026
KPDN Perkukuh Peranan Perintis Melalui Sesi Pencerahan Dasar MySTI

PUTRAJAYA – Sekretariat MySTI daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah menganjurkan Sesi Pencerahan Dasar MySTI bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pada 6 April 2026 bagi memperkukuh agenda pemerkasaan industri tempatan. Sebagai kementerian rintis, KPDN kekal menjadi penanda aras dalam mengintegrasikan produk penyelidikan dan pembangunan (R&D) tempatan ke dalam ekosistem perolehan kerajaan. Sesi ini bermatlamat memastikan pegawai perolehan, khususnya ahli baharu, memiliki kefahaman jernih mengenai dasar MySTI bagi membolehkan maklumat tersebut disebarluaskan ke seluruh jabatan dan agensi di bawah kementerian.

Taklimat ini memberi tumpuan kepada penyelarasan strategik Perancangan Perolehan Tahunan (PPT) 2026 serta tatacara perolehan yang menyokong pertumbuhan teknologi domestik. Selain aspek teknikal, penekanan diberikan kepada peranan ahli baharu sebagai agen penyampai maklumat bagi memastikan agenda kedaulatan teknologi dihayati di setiap peringkat organisasi. Melalui pemahaman mekanisme pemetaan yang betul, produk inovasi anak watan kini dapat diberikan keutamaan secara sistematik dalam setiap perancangan tender kementerian, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada teknologi luar.

Sesi ini turut menarik perhatian peserta mengenai ketersediaan inovasi baharu bagi kegunaan pasukan penguatkuasa. MySTI menegaskan bahawa rangkaian produk yang berdaftar adalah sangat meluas dan relevan untuk pelbagai bidang kuasa, termasuk sektor keselamatan dan penguatkuasaan undang-undang. Langkah proaktif ini bukan sahaja memartabatkan kreativiti tempatan, malah menjadi pemangkin kepada pengkomersialan R&D negara selaras dengan aspirasi Malaysia Madani untuk membangunkan ekonomi berasaskan pengetahuan yang berdaya saing.